Skim Latihan Pengakap Kelana
Kumpulan Latihan Kelanasiswa, Universiti Putra Malaysia (KLKM UPM) telah menganjurkan Kem Perdana atau lebih dikenali sebagai Kem Lencana Kemahiran buat ahli kelana yang baru sahaja dilantik pada 16 hingga 18 Disember 2016 yang bertempat di Mutiara Semenyih Training & Eco Resort. Pelbagai aktiviti dan program yang berfaedah telah diadakan bagi mengambarkan kehidupan sebenar buat kumpulan kelanasiswa yang bakal mengharungi dunia realiti yang penuh dengan cabaran.
Seramai 26 orang ahli Pengakap I menyertai Kem Perdana untuk melayakkan diri mereka untuk mendapat lencana kemahiran dan turut dibantu oleh Pengakap III dan IV. Taklimat dan pendedahan ke arah Anugerah Baden Powell telah disampaikan oleh Encik Akhtar Nurfitri iaitu setiap peserta adalah disarankan untuk memberi keutamaan kepada buku log. Para peserta juga turut didedahkan mengenai prosedur yang tepat dan tersusun dalam pengunaan kompas dan peta dalam mengenal pasti lokasi dan arah tuju laluan yang bakal diaplikasikan dalam aktiviti pengembaraan kelak yang dikendalikan oleh Encik Norhisham bin Mohd Nasir.
Selain itu, para peserta turut mempelajari jenis-jenis ikatan dan simpulan, ikhtiar hidup bagi mengaplikasikan kemahiran berdikari, aktiviti binaan gajet yang dinilai oleh jurulatih bagi melihat binaan yang kukuh, kawad kakik serta awad tongkat. Malam terakhir turut dimeriahkan dengan 'camp fire' diikuti nyanyian lagu-lagu pengakap serta persembahan para pelajar. Majlis penutup Kem Perdana telah dirasmikan oleh Prof Madya Dr. Abdul Rashid Bin Mohamad dengan pemberian ucapan serta sijil penghargaan kepada ahli-ahli KLKM UPM yang menyertainya. Secara konklusinya, Kem Perdana sememangnya banyak memberi manfaat yang tidak ternilai kepada generasi muda khususnya ahli-ahli KLKM UPM dimana aktiviti yang dijalankan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian yang melahirkan ahli yang bijak berdikari, komitmen dan berfikiran terbuka dalam menghadapi kehidupan diluar.