Penduduk Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Nerus teruja apabila melihat sekumpulan besar Pengakap beruniform lengkap membersihkan kawasan kampung mereka. Peluang ini tidak dilepaskan oleh penduduk untuk turut sama berganding bahu dalam program ini. Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus (UniSZA) telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Nerus Terengganu pada 18 November 2017.

 

Seramai 100 orang ahli dan pemimpin KLKM dari seluruh negara telah menyumbang khidmat tenaga dalam program khidmat masyarakat ini. Antara program yang dilaksanakan adalah membersihkan surau, membersihkan longkang, membersihkan bilik persalinan, membersihkan balairaya dan tabika kemas. Aktiviti lain yang turut dilaksanakan adalah mengunjungi rumah orang kampung untuk pemeriksaan kesihatan. Pengerusi JKKK Kampung Teluk Ketapang, En. Mad Azmi bin Haji A. Aziz mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengakap KLKM kerana memilih Kampung Teluk Ketapang untuk program khidmat masyarakat. Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid bin Mohamad Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri KLKM berkata program ini diadakan sempena dengan Istiadat Perbarisan Dan Penganugerahan Baden Powell (BP-Award) & Manikayu Peringkat Kebangsaan PPM Negeri Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia IPTA/IPTS) Kali Ke IV 2017 yang berlangsung dari 17-20 November 2017 bertempat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu, Terengganu. Menurutnya lagi, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah menjadikan KLKM sebagai salah sebuah negeri iaitu negeri yang ke 13 yang mempunyai ahli pengakap di samping 12 buah negeri lain di Malaysia. Bagi mana-mana universiti, politeknik dan institusi pengajian tinggi yang berdaftar akan bergelar sebuah daerah dalam negeri KLKM.

Program ini ternyata telah memberi impak besar kepada masyarakat setempat dan seterusnya berjaya membentuk diri peserta-peserta dalam penghayatan nilai-nilai kehidupan di kawasan tersebut. Di samping itu program ini berjaya memperkukuhkan sifat kepimpinan dan nilai-nilai pengakapan peserta.

Monday the 22nd. Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia - Joomla Templates