Arau – Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah mengadakan Malaysian Polytechnic Rovers Challenge (MalPRO) 2019 Pengakap Kelana Politeknik Malaysia pada 21 hingga 24 Ogos 2019 di PTSS.  Program ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Pengakap Kelana Politeknik Malaysia, melalui Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan pengilbatan 10 Politeknik Malaysia yang berdaftar di bawah Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM), Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM). Antaranya politeknik yang terlibat adalah Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Politeknik Kota Bahru (PKB), Politeknik Port Dickson (PPD), Politeknik Muazham Shah (PMS), Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Politeknik Mukah Sarawak (PMU) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) selalu tuan rumah untuk kali ketiga.  Program ini merupakan aktiviti perkhemahan tahunan bagi politeknik yang melaksanakan Ko-Kurikulum Badan Beruniform Berkredit Pengakap Kelana Politeknik. Ia bertujuan mengumpulkan semua ahli Pengakap Kelana terpilih untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta menguji kemahiran mereka berdasarkan Skim Latihan Pengakap Kelana, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) serta persediaan mereka ke arah pencalonan Anugerah Baden Powell (BP Award).

 

            Menurut Encik Abdul Malek Bin Hassan, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis “Perlaksanaan program MalPRO 2019 kali adalah telah mencipta pelbagai sejarah tersendiri berbanding penganjuran sebelum ini, di mana buat pertama kalinya MalPRO di PTSS telah berjaya mengadakan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada kepimpinan pengurusan dan pegawai Politeknik”.  Katanya lagi, “Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), YBhg. Dr. Mohammad Naim Bin Yaakub telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pengakap Negeri KLKM, PPM dan merupakan Ketua Pengarah JPPKK yang Pertama dilantik untuk jawatan tersebut.  Selain itu, beliau juga berkata, “Buat pertama kalinya semua Pengarah-pengarah yang terlibat secara aktif dalam ko-kurikulum berkredit pengakap kelana ini juga dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah bersama 45 orang pemimpin di kalangan pegawai di Politeknik masing-masing dan secara tidak langsung memastikan pengerakan pengakap kelana politeknik terus aktif dalam melahirkan graduan yang berkualiti”. Majlis penyerahan watikah perlantikan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof Madya Dr. Abdul Rashid Bin Mohammad, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia bagi mewakili Ketua Pengakap Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr. Haji Shafie Bin Haji Mohd. Salleh.        

Menurut Ketua Pengarah JPPKK, dalam ucapan aluan beliau berkata, “Pihak JPPKK amat bersetuju dan menyokong penganjuran MalPRO 2019 pada kali ini. Ini kerana sejak ko-kurikulum berkredit unit badan beruniform diperkenalkan, pihak JPPKK amat komited melahirkan bakal graduan dengan menekankan tahap jati diri dan nilai kepimpinan yang tinggi melalui pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum unit badan beruniform terutamanya  pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar mengenai kemahiran khusus dalam bidang kepengakapan”. Hal ini juga telah ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri KLKM, dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa “MalPRO 2019 kali ketiga di PTSS telah berjaya mencapai matlamatnya. Ini kerana, program ini disusun berdasarkan kepada persediaan ke arah Penganugerahan Baden Powell (BP Arward), Persekutuan Pengakap Malaysia yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penglibatan peserta dalam semua aktiviti MalPRO 2019 yang telah dianjurkan ini melayakkan mereka untuk dianugerahkan sijil pencapaian dalam Ujian Lencana-lencana Skim Latihan Pengakap Kelana dan juga telah berjaya menyelesaikan sebahagian syarat utama pencalonan BP Arward  seperti; Kursus Kesedaran Keselamatan (Safe from Harm, World Organization of Scout Movement, WOSM), Kursus Pertolongan Cemas dan CPR, Kursus Pemadaman Api, Program Khidmat Masyarakat dan Program Silang Budaya.

Menurut Pengarah Program Malaysian Polytechnic Rovers Challenge (MalPRO) Kali Ketiga 2019 Pengakap Kelana Politeknik Malaysia, Encik Azizee Bin Aziz, selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah, KLKM PTSS, menyatakan bahawa “Pencapaian program ini bukan sahaja berjaya melibatkan semua 10 Politeknik yang aktif berpengakap untuk hadir, tetapi telah mampu menarik jumlah penyertaan teramai iaitu sebanyak 170 orang ahli pengakap kelana dan penglibatan seramai 45 pemimpin pengakap kelana Politeknik Malaysia. Antara lima aktiviti yang telah dijalankan adalah Cabaran Kemahiran, Eksplorasi Kembara, Silang Budaya dan Pembangunan Diri”. Perlaksanaan program ini juga mendapat kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanana Awam (APM) Negeri Perlis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan juga Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perlis.

Bagi tujuan mengiktiraf peranan dan kesungguhan pelajar dalam menjayakan program MalPRO 2019 kali ini, terdapat pelbagai pertandingan telah dianjurkan antaranya pertandingan Cabaran Kemahiran yang telah dimenangi oleh PSA, tempat kedua PKB dan ketiga dimenangi oleh PTSS. Bagi Pertandingan Silang Budaya tempat pertama adalah PKB, Kedua PMU dan Ketiga adalah PSA. Persembahan Terbaik Silang Budaya pula dimenangi oleh PMU dan Persembahan Paling Kreatif Silang Budaya adalah PSA. Program MalPRO 2019 pada kali ini juga telah memperkenalkan Piala Pusingan bersama Johan Keseluruhan yang telah dimenangi oleh PKB, Naib Johan PSA dan tempat Ketiga pula adalah PMU.  Pemenang bagi setiap kategori ini juga membawa pulang wang hadiah kemenangan.

 

 

Tuesday the 17th. Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia - Joomla Templates