Istiadat Perbarisan Dan Penganugerahan Baden Powell (BP-Award) & Manikayu Peringkat Kebangsaan PPM Negeri Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia IPTA/IPTS) Kali Ke IV 2017 telah berlangsung dengan jayanya pada 17-20 November 2017 bertempat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu, Terengganu. Istiadat kali pertama telah di adakan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan diikuti kali ke dua di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor. Universiti Malaya (UM) telah menjadi tuan rumah pada kali ketiga. Manakala untuk kali keempat melalui Mesyuarat Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri KLKM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di pilih sebagai tuan rumah bagi tahun 2017.

Antara daerah KLKM yang mengambil bahagian dalam Anugerah Baden Powell  kali ini adalah dari tujuh orang dari KLKM Daerah Universiti Sultan Zainal Abidin, 44 orang dari KLKM Daerah Universiti Sains Malaysia, seorang dari KLKM Daerah Universiti Islam Antarabangsa, dua orang dari KLKM Daerah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, 13 orang dari KLKM Daerah Universiti Putra Malaysia, enam orang dari KLKM Daerah Politeknik Malaysia, Mukah, dua orang dari KLKM Daerah Universiti Malaysia Terengganu, dan dua orang dari  negeri PPM Negeri Johor.

Bagi seorang ahli pengakap kelana Anugerah Baden Powell atau lebih dikenali sebagai B-P AWARD merupakan anugerah tertinggi bagi seorang ahli pengakap kelana. Untuk mendapatkan anugerah ini seorang ahli pengakap kelana haruslah menghabiskan skim latihan pengakap kelana. Istiadat ini juga bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada ahli-ahli KLKM yang telah menamatkan kursus Pemimpin Manikayu dengan diberi tauliah Sijil Tamat Kursus Manikayu berdasarkan silibus yang diiktiraf oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan World Scout Movement (WOSM).

Pada Istiadat kali ini Johan Kelana BP Award Keseluruhan Terbaik telah diberikan kepada Saudari Izzati Sofia binti Mohd Daroini, dari UPM, Kampus Bintulu. Saudara Velogthevar a/l Suphpormarlan dari IKTBN Chembong telah dianugerahkan Juara Kelana BP Award Terbaik Kategori Lelaki. Juara Kategori Wanita pula telah dimenangi oleh Diah Puspitawaty binti Tisna Baharuddin juga dari UPM Kampus Bintulu.

Manikayu adalah pengesahan yang diterima oleh orang dewasa dalam Pengakap yang telah menyempurnakan Kursus Kepimpinan Manikayu (Peringkat Pengenalan hingga Peringkat Keempat) yang diberikan oleh Pasukan Latihan, Persekutuan Pengakap Malaysia. Mereka yang menghabiskan latihan diberikan pengesahan dalam bentuk dua manik kayu pada tali kulit. Penerima Manikayu dikenali sebagai Wood Badger atau Gilwellian. Penerima Sijil Tamat Latihan Kursus Manikayu terdiri daripada 70 orang dari Universiti Sains Malaysia dan seorang dari Politeknik Malaysia Seberang Perai dan  24 orang pemimpin KLKM.

Istiadat ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr. Haji Shafie bin Haji Mohd. Salleh, Ketua Pengakap Negara pada 20 November 2017. Istiadat ini turut dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Haji Abdullah bin Haji Taib, Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid bin Mohamad Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri KLKM, Tuan Che Soh bin Muda, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu.

Ketua Pengakap Negara mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan sijil pada istiadat kali ini. Beliau mengatakan bahawa semua ahli perlu bermula dari bawah dengan melalui pelbagai siri latihan yang menduga ketahanan mental dan fizikal bagi melahirkan ahli pengakap yang sejati yang menjiwai kemahiran dan kepakaran dalam ilmu kepengakapan. Beliau meminta semua ahli sentiasa mengamalkan prinsip pengakap dimana sahaja mereka berada.

Tuesday the 13th. Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia - Joomla Templates