Assalamualaikum WBT, Salam 1Malaysia dan Salam Pengakap.
Sempena berakhirnya tahun 2016 saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017 bersamaan Tahun Hijrah 1438, kepada semua pemimpin dan ahli-ahli Kelanasiswa di semua daerah Universiti dan Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara. Adalah diharapkan bahawa kedatangan tahun baru ini akan menjadikan kita lebih dewasa dalam mengharungi dunia kepengakapan berbanding sebelumnya. Sepanjang tahun 2016, kita telah berjaya melaksanakan program-program besar di peringkat negeri mahupun kebangsaan dan juga antarabangsa seperti Seminar Kebangsaan Kesihatan dan Pekerjaan di IPTA/S di UM, HINEX di UPM Bintulu dan Anugerah BPA dan Manikayu di UM Jelebu. Beberapa Daerah KLKM juga telah berjaya mengendalikan program-program seperti projek Khidmat Masyarakat di Kampuchea (UIAM Kuantan), Misi Bantuan Bencana Banjir Telok Bahang (PSP) dan program JOTA 2016 (UM KL).
Kejayaan yang saya sebutkan di atas adalah antara sebahagian daripada pelbagai program yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2016. Kejayaan tersebut adalah hasil dari usaha gigih dan berkat kerjasama semua pihak iaitu kumpulan pemimpin, pasukan jurulatih serta ahli-ahli KLKM yang terdapat di ceruk rantau negara kita dari Perlis hinggalah ke Sabah.
Moga-moga tahun 2017 dan tahun-tahun mendatang, negeri KLKM akan lebih komited selari dengan cogankata Pengakap Kelana iaitu “BERKHIDMAT” dalam usaha memperkasakan aktiviti kepengakapan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa agar lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Ucapan tahniah dan syabas saya tujukan kepada semua pemimpin, jurulataih dan ahli-ahli KLKM di seluruh Malaysia dengan kata-kata “ONCE A SCOUT ALWAYS A SCOUT”.
“KELANASISWA PEMANGKIN KELESTARIAN UNIVERSITI”
Salam Hormat dari Saya
Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad, PJK.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri
Persekutuan Pengakap Malaysia
Negeri Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM)