Kem Pengembaraan Jalan Kaki 60 km ini telah diadakan buat kali pertama oleh KLKMUSM bagi ahli Level 100 yang mengambil silibus BP. Kem ini dijalankan adalah untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan lencana Pengembaraan yang melibatkan seramai 114 ahli dan beberapa pembantu kem. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Encik Mohd Hafife Abdul Halim yang merupakan jurulatih yang banyak membimbing kami sepanjang kem ini berlangsung dan penghargaan ini turut ditujukan kepada Dr. Mohd Anuar bin Arshad yang merupakan Pengerusi Rancangan KLKMUSM yang sentiasa memberikan nasihat dan sokongan kepada kami. Selain itu, penghargaan ini turut didedikasikan kepada semua ajk yang terlibat terutama Pengarah Projek iaitu Muhammad Solahuddin Maula Abd Halim yang telah berusaha untuk memastikan kem ini berjalan dengan lancar bermula daripada persiapan kem sehinggalah kem ini ditamatkan dengan jayanya. Kem ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam yang bermula dari Pusat Rancangan Kokurikulum USM ke Teluk Bahang dan meneruskan perjalanan ke Balik Pulau dan kembali semula ke USM.

Kem ini telah memberi impak positif kepada ahli KLKMUSM apabila mereka mampu menghadapi setiap cabaran dan tugasan yang telah diberikan oleh jurulatih seperti melukis Masjid Terapung, mengira panjang sungai, melakukan khidmat masyarakat, mendapatkan cop dan tandatangan di jabatan kerajaan dan lain-lain lagi. Pengalaman berjalan kaki ini digambarkan oleh ahli sendiri adalah kenangan terindah kerana mereka mampu memperkukuhkan lagi kerjasama dalam patrol bahkan dengan patrol-patrol yang lain apabila mereka bersama-sama menyiapkan tugasan dan berjalan kaki menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Selain itu, kem ini juga memberi kesedaran kepada semua ahli kelana terutama kepada ahli yang tidak mempunyai pengalaman berpengakap bahawa istilah pengakap itu membawa makna yang luas bukan hanya tertumpu kepada ikatan tetapi banyak pengalaman yang ditimba daripada kem ini. Buktinya, hubungan antara  patrol dengan patrol yang lain semakin kukuh apabila masalah yang dihadapi diselesaikan bersama terutama menyiapkan tugasan bersama-sama. Tiada istilah saingan antara patrol tetapi hanya ada istilah ‘Kami Bersaudara”. Bukan itu sahaja, kem ini telah menyedarkan kami mengenai 10 undang-undang Pengakap yang akan menjadi teras pembinaan disiplin dan sahsiah selaku Ahli KLKMUSM. Meskipun kem ini menguji tahap keupayaan fizikal dengan berjalan kaki sebanyak 60 km dengan tugasan-tugasan khas yang diberikan oleh jurulatih serta masalah yang timbul apabila terdapat ahli yang tidak dapat meneruskan kem pengembaraan akibat masalah kesihatan dan kecederaan namun kami tetap bersemangat menyelesaikan misi kem ini bukan sekadar untuk mendapatkan lencana tetapi menyedari sebuah hakikat bahawa ‘sekali berpengakap, selamanya berpengakap’.

Perjalanan pengembaraan telah dimulakan tepat pukul 4 petang. Meskipun cuaca agak panas, namun, ahli patrol tetap menunjukkan kesungguhan pada langkah yang pertama untuk membuktikan misi kem mampu dicapai dan visi dapat direalisasikan. Sepanjang perjalanan juga, ahli yang bertugas untuk mencatat perjalanan menjalankan tugas silih berganti dengan ahli yang lain.

Perjalanan dari SMK Teluk Bahang menuju ke SMK Pondok Upeh. Sesi pengambilan gambar di papan tanda Air Terjun Titi Kerawang antara tugasan yang dilaksanakan.

Sesi mengambil gambar di bangunan yang mempunyai seni lukisan antara tugasan yang telah diamanahkan di Pekan Balik Pulau. Meskipun penat berjalan kaki dari Teluk Bahang yang agak mencabar dari segi laluannya, namun ahli KLKMUSM tetap komited menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.

Thursday the 21st. Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia - Joomla Templates